Jumaat, Jun 19, 2026
spot_img
HomeNASIONAL810,000 kenderaan masuk Negeri Sembilan semasa Aidilfitri, trafik dijangka sesak

810,000 kenderaan masuk Negeri Sembilan semasa Aidilfitri, trafik dijangka sesak

SEREMBAN – Polis Negeri Sembilan menjangkakan sebanyak 810,000 kenderaan akan memasuki negeri ini sepanjang musim perayaan Aidilfitri, peningkatan sebanyak 76 peratus berbanding hari biasa yang merekodkan kira-kira 460,000 kenderaan.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, peningkatan ketara ini dijangka berlaku terutama pada waktu puncak ketika orang ramai pulang ke kampung atau menuju ke destinasi percutian.

“Sebanyak 19 lokasi panas telah dikenal pasti berpotensi mengalami kesesakan lalu lintas, manakala tiga lokasi hitam sering mencatatkan kemalangan.
Polis telah bersiap sedia dengan kawalan trafik bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya,” katanya.

Antara lokasi panas yang dikenal pasti di Seremban termasuk Bulatan Bukit Chedang, Jalan Rasah, dan Jalan Sungai Ujong.

Di Port Dickson, kawasan seperti KM 5-7 Jalan Pantai dan Pekan Lukut dijangka mengalami peningkatan trafik.

Tampin, Kuala Pilah, Jempol, Jelebu, Rembau dan Nilai turut memiliki laluan yang dijangka sesak sepanjang perayaan.

Selain itu, tiga lokasi hitam yang kerap berlaku kemalangan ialah KM 11 Jalan Seremban di Port Dickson, KM 19-22 Jalan Seremban – Simpang Pertang di Jelebu, serta KM 5 Jalan Bahau – Kemayan di Jempol.

Sehubungan itu, pihak polis akan meningkatkan rondaan dan kawalan trafik di lokasi-lokasi terbabit bagi mengurangkan risiko kesesakan dan kemalangan.

Dalam usaha memastikan keselamatan dan kelancaran lalu lintas, hanya 10 peratus daripada keseluruhan 4,900 anggota polis dibenarkan bercuti, manakala cuti semua anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dibekukan sepanjang musim perayaan ini.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-spot_img