KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen PKR, Wong Chen mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan kenaikan gaji bagi wakil rakyat dengan alasan ia penting untuk memastikan tugas sebagai ahli parlimen dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.
Bercakap dalam satu majlis pelancaran buku di ibu negara hari ini, Wong menyatakan bahawa gaji ahli parlimen ketika ini tidak mencerminkan beban kerja dan tanggungjawab sebenar yang perlu ditanggung, termasuk kos operasi pejabat serta keperluan menyara kakitangan.
“Mereka fikir kita hanya jaga anak dan pasangan? Sebenarnya, kita juga kena tanggung semua orang di pejabat kita,” katanya sambil menekankan bahawa kebanyakan elaun yang diterima bukanlah gaji sebenar tetapi diperuntukkan untuk operasi pentadbiran dan khidmat masyarakat.
Tambahnya, beban kewangan yang ditanggung oleh ahli parlimen sering disalah anggap masyarakat, sedangkan kerjaya politik memerlukan komitmen masa, tenaga dan sumber yang besar demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Sehubungan itu, Wong turut mencadangkan pendekatan ‘carrot and stick’ (ganjaran dan hukuman) dalam menggubal dasar serta sistem sokongan kepada ahli parlimen.
Menurutnya, dengan memberikan imbuhan yang setimpal serta mewujudkan mekanisme pemantauan dan kawalan, ia boleh meningkatkan integriti dan keberkesanan tugas wakil rakyat.
\”Selagi belum jadi ahli politik, orang tidak akan faham berapa banyak kos yang terlibat,” katanya.
Cadangan tersebut dijangka mencetuskan perdebatan dalam kalangan rakyat dan ahli politik, memandangkan ia melibatkan isu kepercayaan terhadap pemimpin serta penggunaan dana awam.

