PendidikanBakal 'Cikgu PJ', Izzul Haniff raih emas sulung SUKIPT

Bakal ‘Cikgu PJ’, Izzul Haniff raih emas sulung SUKIPT

KUALA LUMPUR – Hanya berbekalkan persiapan tiga minggu selepas menerima rawatan susulan kecederaan di bahagian pangkal paha, atlet Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Izzul Haniff Mohd Raffi membuktikan kekuatan mental menjadi senjata utamanya apabila meraih pingat emas acara lompat kijang lelaki Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026.

Lebih manis, kejayaan itu hadir pada penampilan sulung atlet berusia 23 tahun berkenaan di pentas SUKIPT apabila mencatat lompatan sejauh 15.69 meter (m), satu pencapaian yang cukup melegakan buatnya selepas hampir empat bulan tidak beraksi dalam acara kompetitif akibat kecederaan.

“Alhamdulillah, saya berpuas hati untuk hari ini sebab saya sudah lama tidak melompat kerana baru-baru ini saya menerima rawatan.

“Dengan catatan 15.69m ini, bagi saya amat memuaskan dan saya bersyukur kerana dapat melompat semula. Saya juga sudah dapat kembali rentak saya,” katanya ketika ditemui MYBERITA di sini, hari ini.

Menurut Izzul Haniff, kali terakhir dia beraksi adalah sekitar Mei lalu di Varsity Track & Field (VTF) Sirkit 2 2026 di Terengganu.

Malah, persiapannya menuju SUKIPT kali ini turut terganggu apabila mengalami koyakan kira-kira empat sentimeter (cm) pada otot adductor magnus di bahagian pangkal paha ketika menjalani latihan.

“Persediaan untuk SUKIPT sebenarnya hanya tiga minggu. Tiga minggu sebelum itu saya baru menerima rawatan di bahagian adductor magnus, dekat bahagian groin kerana koyak 4cm ketika latihan.

“Waktu itu agak kecewa kerana saya tidak boleh turun berlatih. Jadi, saya datang ke sini memang banyak bergantung kepada kudrat dan mental saya,” katanya.

Disebabkan kekangan latihan, Izzul Haniff berkata, dia banyak melakukan persediaan secara mental termasuk membayangkan teknik lompatan serta larian yang perlu dilakukan ketika pertandingan.

“Memang mental saya 100 peratus di sini. Persediaan latihan itu lebih kepada cara saya sendiri, melalui imaginasi bagaimana saya mahu melompat dan bagaimana mahu melakukan larian dengan sebaiknya,” katanya.

Dalam pada itu, Izzul Haniff turut mengakui sokongan barisan kejurulatihan UPM terutama jurulatihnya, Firdaus Salim selain keluarga dan rakan sepasukan menjadi antara faktor penting yang membantunya kembali yakin selepas melalui tempoh sukar.

“Jurulatih saya, Encik Firdaus Salim dan jurulatih UPM lain juga banyak membantu saya. Mereka beri saya motivasi semula.

“Secara tidak langsung, mak ayah dan rakan sepasukan saya juga banyak memberikan sokongan,” katanya.

Dalam pada itu, Izzul Haniff mengakui catatan 15.69m pada SUKIPT kali ini masih belum mencukupi untuk memenuhi sasaran kelayakan ke ASEAN Games, sebelum memberi tumpuan kepada Sukan Universiti ASEAN (AUG).

Menurutnya, dia perlu mencatat sekurang-kurangnya 16m seperti ditetapkan Kesatuan Olahraga Malaysia (MA) bagi membuka peluang beraksi pada temasya berkenaan.

“Untuk AUG memang sasaran saya mahu lompat 16 meter ke atas. Sebenarnya sebelum AUG, saya ada sasaran untuk ke ASEAN Games.

“Tetapi untuk ASEAN Games, MA menetapkan catatan 16 meter. Hari ini saya tidak dapat capai, jadi kemungkinan saya tidak dapat pergi.

“Untuk AUG pula, saya yakin saya boleh pergi dan sasaran saya tetap untuk melepasi 16 meter,” katanya.

Dalam perkembangan lain, atlet yang mula berkecimpung dalam acara itu sejak berusia 15 tahun tersebut kini mengikuti pengajian dalam bidang pendidikan di UPM dan berhasrat menjadi guru Pendidikan Jasmani (PJ) selepas menamatkan pengajian.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-