SERDANG – Kepenatan dan kurang tidur dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa 30 murid Tadika Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Ampang serta lima guru di Jalan Persiaran Universiti 1, Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, siasatan awal mendapati pemandu berusia 44 tahun itu mengaku terlelap ketika memandu kerana tidak mendapat rehat mencukupi.
“Suspek yang ditahan sebelum ini telah direman selama dua hari bagi membantu siasatan lanjut. Hasil ujian saringan awal juga mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah atau alkohol.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku akibat pemandu tidak cukup tidur dan rehat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.18 tengah hari itu, bas yang membawa rombongan berkenaan dikatakan terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di bahu jalan.
Seorang guru dan tiga murid dilaporkan mengalami kecederaan ringan pada bahagian kepala akibat terhantuk, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Difahamkan, ketika kejadian, bas terbabit dalam perjalanan pulang dari kilang coklat Beryl’s di Seri Kembangan menuju ke G2G Animal Garden, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).
Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.

