Politik"Kalau Menteri KKDW minta saya berhenti, saya berhenti", Asyraf Wajdi tolak desakan...

“Kalau Menteri KKDW minta saya berhenti, saya berhenti”, Asyraf Wajdi tolak desakan AMK, PKR

KUALA LUMPUR – Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan hanya Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mempunyai kuasa menentukan kedudukannya sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), sekali gus menolak desakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan tuntutan PKR supaya beliau melepaskan jawatan berkenaan.

Setiausaha Agung UMNO itu berkata, beliau tidak akan meninggalkan kerusi nombor satu MARA hanya kerana tekanan daripada mana-mana parti atau sayap politik kerana pelantikannya dibuat atas mandat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya ini dilantik oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW, saya hanya menurut saja. Kalau Menteri KKDW minta untuk saya berhenti, saya berhenti. Tapi bukan atas desakan AMK atau parti Keadilan.

“Kerana pertama sekali, saya ini menjaga amanah parti, amanah parti untuk menjaga MARA yang lahir daripada rahim UMNO itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Menara Dato’ Onn, di sini.

Pendirian itu hadir selepas kepimpinan AMK sebelum ini mendesak Asyraf Wajdi melepaskan jawatan Pengerusi MARA atas alasan integriti susulan dakwaan mengaitkannya dengan isu Lembaga Tabung Haji (TH) ketika beliau memegang portfolio Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Pertikaian mengenai kepimpinan MARA turut mendapat perhatian apabila perwakilan pada Kongres Nasional PKR sebelum ini dilaporkan secara terbuka mencadangkan supaya jawatan Pengerusi MARA diberikan kepada pemimpin parti berkenaan.

Cadangan itu dikaitkan dengan usaha membawa nafas baharu dalam kepimpinan institusi berkenaan, namun Asyraf Wajdi menegaskan tanggungjawabnya adalah memastikan MARA terus dipertahankan sebagai institusi penting kepada pembangunan Melayu dan Bumiputera.

Menurutnya, sepanjang kira-kira tiga tahun menerajui MARA, antara keutamaannya adalah memperkukuh asas pendidikan dan keusahawanan Bumiputera selain memperkemas tadbir urus institusi berkenaan.

“Ini adalah institusi orang Melayu dan Bumiputera dan sepanjang tiga tahun ini saya meletakkan asas penting untuk memastikan agenda pendidikan, usahawan orang Melayu ini terpelihara dan dapat kita perkasakan soal tadbir urus institusi yang kita perkemaskan.

“Supaya saya bukan lama pun di MARA ini, maknanya yang paling penting institusi ini akan tetap dipertahankan. Jangan ada usaha-usaha untuk merobek reputasinya,” tegasnya.

Asyraf Wajdi turut memberi gambaran bahawa soal tempoh beliau menerajui MARA bukan perkara utama, sebaliknya kelangsungan institusi berkenaan serta agenda memperkasa masyarakat Melayu dan Bumiputera perlu terus menjadi keutamaan.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-