KUALA LUMPUR – Kekangan untuk mengumpulkan barisan penuh ketika sesi latihan menjadi antara cabaran dihadapi skuad bola tampar lelaki Universiti Putra Malaysia (UPM) sebelum terpaksa akur tewas 1-2 kepada TAR UMT dalam saingan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026.
Pemain UPM, Muhammad Danish Shamsul Azman berkata, keputusan itu mengecewakan kerana pasukannya gagal mencapai sasaran ditetapkan, namun tetap berpuas hati dengan prestasi ditampilkan selepas melalui tempoh persediaan bersama yang terhad.
“Bagi saya, kami agak sedih sebab tak capai sasaran, tetapi dalam masa sama kami berpuas hati dengan prestasi yang berjaya dibentuk dalam masa sangat singkat.
“Dua hari sebelum perlawanan baru kami dapat berkumpul sebagai satu pasukan untuk menjalani latihan,” katanya ketika ditemui MYBERITA di sini hari ini.
Menurut Danish, UPM sebenarnya sudah memulakan latihan sejak Julai lalu, namun komitmen pemain terhadap kejohanan lain menyebabkan mereka sukar menjalani latihan secara lengkap sebagai satu pasukan.
Katanya, ada pemain yang memberi tumpuan kepada temasya Sukan Malaysia (SUKMA), selain sebahagian lagi menjalani latihan bagi menghadapi kejohanan lain.
“Ada hari hanya enam pemain dapat hadir, ada hari pula 10 pemain. Selepas habis SUKMA barulah kami dapat berkumpul sebagai satu pasukan.
“Jadi, masa kami bersama memang agak singkat,” katanya.
Mengulas perlawanan itu, Danish berkata, UPM berdepan tentangan sengit daripada TAR UMT yang disifatkannya sebagai pasukan lebih bersedia selain memiliki pengalaman sebagai juara bertahan.
Katanya, kehilangan momentum pada set kedua turut menjadi antara detik penting yang mengubah rentak permainan selepas lawan berjaya mengutip mata berturut-turut.
“Pada set kedua kami agak hilang momentum. Ada satu titik perubahan yang menyebabkan fokus dan momentum kami terganggu apabila pihak lawan mendapat mata demi mata.
“Perlawanan ini memang sukar kerana TAR UMT bukan pasukan biasa, mereka juara bertahan dan sebelum ini kami juga pernah bertemu mereka di final.
“Mereka lebih bersedia dan bagi saya, hari ini mereka bermain lebih baik daripada kami,” katanya.
Meskipun gagal mendapatkan keputusan diharapkan pada SUKIPT kali ini, Danish berkata, UPM akan menjadikan kekalahan berkenaan sebagai pengajaran untuk memperkemaskan persediaan menjelang kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) tahun depan.
UPM mempunyai misi besar dalam kejohanan itu apabila turun dengan status juara bertahan.
“Selepas SUKIPT, kami akan fokus sepenuhnya kepada MASUM tahun depan. Kami juara bertahan, jadi kami memang akan berlatih lebih keras untuk mempertahankan kejuaraan.
“Ada pemain yang tidak dapat bermain lagi, ada yang masih kekal dan akan ada pemain baharu masuk. Jadi, kami akan ubah strategi serta jadual latihan supaya lebih kerap setiap minggu,” katanya.