KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) hari ini mendedahkan hasil siasatan berhubung dakwaan kelemahan tindakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam mengawal selia pengimport dan ejen Kastam yang melanggar Perintah Tetap Kastam.
Dalam satu kenyataan media, EAIC memaklumkan bahawa siasatan dijalankan selepas menerima aduan terhadap JKDM yang didakwa tidak mengambil tindakan membatalkan lesen pihak-pihak terlibat walaupun terdapat pelanggaran jelas terhadap peraturan sedia ada.
Menurut kenyataan itu, siasatan dijalankan di bawah subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
“Siasatan EAIC mendapati terdapat kelemahan dalam proses meluluskan Borang Pengikraran Kastam bagi melepaskan barang dagangan import, di mana sebahagian pengimport dan ejen Kastam telah melakukan pengikraran tanpa mematuhi Perintah Tetap Kastam yang berkuat kuasa,” jelas kenyataan tersebut.
Berikutan penemuan itu, EAIC telah memutuskan untuk mengemukakan syor penambahbaikan kepada JKDM bagi memperketat kawalan dan memastikan pematuhan menyeluruh terhadap Perintah Tetap Kastam oleh semua pengimport dan ejen berlesen.
Mesyuarat Suruhanjaya turut menyarankan agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar perintah tersebut, selaras dengan peranan JKDM dalam menjaga integriti sistem perdagangan negara.
EAIC menegaskan komitmen mereka untuk terus memantau agensi penguatkuasaan dan memastikan segala bentuk ketidakpatuhan tidak dibiarkan berleluasa demi menjaga kepentingan awam dan ketelusan pentadbiran.

