KOTA BHARU – Syarikat Kenari Utara Travel And Tours Sdn. Bhd. memilih untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung video tular yang memaparkan bas milik syarikat itu dipandu laju sebelum terbalik dalam kejadian di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, hari ini.
Kejadian tragik itu mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dalam perjalanan pulang dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak.
Pegawai Operasi syarikat tersebut, Mohd. Nazri Nawi berkata, beliau belum mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan syarikat untuk memberikan sebarang komen, termasuk berhubung rakaman kamera papan pemuka yang kini tersebar luas di media sosial.
“Saya minta maaf dan syarikat tidak memberi kebenaran untuk buat sebarang komen berkaitan kejadian termasuk mengenai video tular,” katanya ketika dihubungi pihak media.
Terdahulu, video berdurasi 39 saat yang dimuat naik pengguna media sosial menunjukkan sebuah bas dipandu dalam keadaan laju sebelum memotong beberapa kenderaan lain dan terbalik tidak lama selepas itu.
Rakaman itu menimbulkan kebimbangan orang ramai berhubung tahap keselamatan pengangkutan awam serta kemungkinan kecuaian pemanduan sebagai punca tragedi.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap punca nahas termasuk kemungkinan pelanggaran peraturan keselamatan jalan raya.

