KUALA LUMPUR – Saluran Telegram Edisi Siasat 2.0 yang baharu sahaja diwujudkan semalam bagi menggantikan saluran asal yang disekat, kini turut menerima nasib sama apabila disekat sekali lagi malam tadi.
Tinjauan MYBERITA pada jam 10 malam mendapati, saluran tersebut tidak lagi boleh diakses dan tertera paparan mesej.
“Saluran ini tidak dapat dipaparkan kerana ia melanggar undang-undang tempatan (Malaysia).”
Saluran baharu itu berjaya mengumpul lebih 100,000 pengikut dalam tempoh kurang 24 jam selepas ia diumumkan sebagai alternatif kepada saluran Telegram Edisi Siasat asal yang sebelum ini memiliki lebih 1.1 juta pengikut.
Langkah menyekat saluran itu dipercayai susulan tindakan tegas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang sebelum ini memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran Telegram iaitu Edisi Siasat dan Edisi Khas.
Menurut kenyataan terdahulu MCMC, tindakan sekatan itu dibuat kerana kedua-dua saluran dikenal pasti menyebarkan kandungan yang melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, termasuk kandungan berunsur hasutan yang boleh menghakis kepercayaan terhadap institusi awam negara serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.
MCMC turut menegaskan bahawa langkah ini merupakan tindakan pertama seumpamanya terhadap penyedia platform media sosial yang juga pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [ASP(C)], dalam usaha memelihara keselamatan maklumat dan kestabilan sosial negara.
Setakat ini, tiada kenyataan balas rasmi daripada pihak Telegram atau individu yang mengendalikan saluran berkenaan mengenai sekatan terbaharu ini.

