KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang sarat mengandung anak pertama mengejutkan orang ramai apabila memilih untuk berdamai dengan suaminya yang didakwa berlaku curang, selepas sebelum ini tular insiden serangan terhadap individu yang dipercayai sebagai ‘penyondol’.
Isu berkenaan mula menjadi perhatian di media sosial apabila wanita tersebut bertindak menyerang seorang wanita lain di sebuah kedai makan. Rakaman kejadian itu kemudiannya tersebar luas dan mengundang pelbagai reaksi netizen.
Terbaharu, menerusi satu hantaran di media sosial, wanita berkenaan menjelaskan bahawa dia mengambil keputusan untuk meneruskan perkahwinannya demi masa depan anak yang bakal dilahirkan.
“Di sini saya nak jelaskan keadaan yang sedang berlaku sekarang terhadap saya. Saya ingin memberitahu yang saya masih pilih dia menjadi suami saya dan saya anggap ini ujian saya ketika sedang mengandungkan anak pertama.
“Tujuan saya tularkan mengenai suami curang tempoh hari adalah kerana saya terbawa-bawa emosi disebabkan si ‘penyondol’ yang tidak menerima peringatan saya sebagai isteri dan saya tidak berharap semua orang dapat menerima keputusan ini, tetapi saya hanya memikirkan masa depan anak kelak,” katanya.
Dalam pada itu, wanita tersebut turut memohon orang ramai agar menghentikan penyebaran maklumat peribadi serta tidak mengganggu keluarga mentuanya demi menjaga kehormatan semua pihak.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial. Rata-rata menasihatkan agar orang ramai tidak membuat penilaian terburu-buru terhadap keputusan yang diambil.
“Yang pernah alami akan faham, ada hikmahnya apa yang terjadi dan hormati keputusan dia,” kata seorang pengguna.
Seorang lagi pengguna turut berpendapat bahawa walaupun tindakan menularkan isu rumah tangga mungkin tidak wajar, keputusan untuk memberi peluang kepada pasangan perlu dihormati.
“Silap dia pergi tularkan hal rumah tangga tapi jangan kecam kenapa dia bagi peluang sebab kita tak ada dekat tempat dia,” ujarnya.
Kes ini sekali lagi mencetuskan perbincangan mengenai batas perkongsian hal peribadi di media sosial serta kepentingan membuat keputusan secara matang dalam menghadapi konflik rumah tangga.

