SEBERANG PERAI – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini giat mengemas kini data mangsa yang mengalami kecederaan serius dalam nahas bas yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Gerik-Kupang pada 9 Jun lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, individu yang disahkan mengalami kecacatan kekal akibat insiden itu akan diberikan kad Orang Kurang Upaya (OKU) selepas proses pengesahan kesihatan dilaksanakan.
“Proses berkenaan akan segera dilaksanakan sejurus selepas mendapat maklum balas daripada doktor,” katanya kepada media hari ini.
Menurut beliau, kementerian melalui JKM juga sedang mempercepatkan bantuan emosi dan psikososial kepada ahli keluarga mangsa yang terkesan, termasuk pasangan suami isteri, Mohd Lutfi Radzi, 37, dan Nurul Ain Zakaria, 36, yang turut mengalami kecederaan dalam tragedi tersebut.
“Saya telah menziarahi keluarga pemandu Perodua Alza itu semalam. Kalau kita lihat, memang ahli keluarga terbabit masih dalam trauma dan kita terus bantu untuk stabilkan emosi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kepala Batas di Kubang Menerong, Pulau Pinang.
Terdahulu, tragedi yang berlaku pada awal pagi 9 Jun lalu menyaksikan sebuah bas yang membawa 36 penuntut UPSI terbabas dan terjunam ke cerun di Kilometer 31, Jalan Gerik-Kupang, mengorbankan 15 nyawa dan mencederakan puluhan yang lain. Kesemua mangsa dalam perjalanan ke Terengganu bagi menjalani program khidmat masyarakat.

