Jumaat, 17 Julai 2026
spot_img
Main Menu MYBERITA
SemasaRandy Owen berjaya harumkan nama Malaysia, raih dua pingat di Austrian Open...

Randy Owen berjaya harumkan nama Malaysia, raih dua pingat di Austrian Open 2025

KUALA LUMPUR – Randy Owen Anak Augustine Linggi mencipta detik manis apabila berjaya merangkul dua pingat pada kejohanan Austrian Open 2025 yang berlangsung di Vienna, Austria, pada Jumaat.

Dalam perkongsian di laman Instagram beliau pada Jumaat, Randy, 20, yang juga merupakan pelajar ijazah sarjana muda pengurusan sukan, semester dua Universiti Malaya, meluahkan rasa syukur dan teruja kerana dapat mewakili Malaysia buat julung kalinya dalam kejohanan antarabangsa tahun ini.

\"4\"

Beliau meraih pingat perak dalam kategori poomsae individu lelaki dan pingat gangsa dalam kategori poomsae berpasangan campuran.

“Saya amat bersyukur dan berbesar hati dapat membawa pulang pingat perak dan gangsa untuk Malaysia dalam kejohanan ini. Ia adalah satu pengalaman yang cukup bermakna dan permulaan kepada perjalanan saya dalam dunia sukan antarabangsa,” katanya.

Randy turut merakamkan ucapan terima kasih kepada jurulatihnya, serta Taekwondo Malaysia (TM), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Persatuan Taekwondo Negeri Sarawak (PTNS), rakan sepasukan, keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan dan bimbingan kepadanya.

“Perjalanan ini baru bermula. Saya akan terus belajar, terus berkembang dan berusaha lebih gigih. Kemajuan tidak terhenti di sini, malah menjadi pembakar semangat untuk langkah seterusnya,” tulisnya lagi.

Kejayaan ini sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa serta menjadi inspirasi buat rakan pelajar dan atlet muda di seluruh negara.

Untuk rekod, Randy sebelum ini pernah ditemui MYBERITA selepas berjaya menyumbangkan satu pingat emas dan satu pingat perak menerusi acara taekwondo di Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) tahun lepas.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-