MELAKA – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mencipta sejarah tersendiri apabila melancarkan program pengajian dalam bidang penerbangan menerusi kerjasama strategik bersama International Aero Training Academy (IATAC).
Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, inisiatif tersebut merupakan satu lonjakan penting yang sejajar dengan aspirasi universiti melalui pelan UPNM30: Memacu Kesarjanaan, Kepimpinan Masa Hadapan.
Menurutnya, program baharu itu membolehkan pelajar memperoleh Ijazah Sarjana Muda Penerbangan serta Lesen Juruterbang Profesional (CPL) dalam tempoh tiga tahun menerusi konsep pembelajaran 2u1I, iaitu dua tahun pembelajaran akademik di universiti dan satu tahun latihan industri bersama IATAC.
“Pelajar tidak lagi perlu memperuntukkan lima hingga enam tahun untuk memperoleh dua kelayakan penting.
“Ini adalah program pengajian paling singkat seumpamanya di Malaysia yang bukan sahaja menjimatkan masa dan kos, malah memberikan kelebihan kompetitif yang luar biasa kepada graduan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran dan Hari Terbuka Program Sarjana Muda Penerbangan 2u1I (Kerjasama IATAC-UPNM) yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di IATAC, Batu Berendam hari ini.
Tambah Arman, usaha itu juga seiring dengan teras pertama Pelan Strategik UPNM30 yang memberi tumpuan kepada integrasi ilmu, kemahiran dan nilai dalam melahirkan pemimpin masa hadapan, khususnya dalam ekosistem keselamatan serta industri penerbangan negara.
Jelasnya lagi, UPNM juga menawarkan pelbagai program di peringkat diploma dan ijazah bagi memperluas laluan kerjaya serta melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga memiliki kompetensi global.
“Inilah teras kepada visi UPNM dalam membina graduan berjati diri, bersedia memimpin dan menyumbang kepada pembangunan negara dalam era penuh cabaran masa kini,” katanya lagi.


