Sabtu | 15 November 2025
spot_img

\”Saya sayang Malaysia sampai hujung nyawa\” – Mahathir

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beliau akan terus mengambil berat tentang keadaan negara kerana kasih sayangnya terhadap Malaysia tidak pernah pudar, malah kekal hingga ke akhir hayat.

Dalam satu hantaran di Facebook, Mahathir, 100, menjawab pertanyaan mengapa beliau masih aktif menyuarakan pandangan meskipun sudah lanjut usia dan tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

“Maksud mereka, kenapa saya tak bersara sahaja. Saya ni dah tua. Biar orang muda ambil alih,” katanya.

Namun bagi beliau, tiada sebab untuk tidak peduli terhadap masa depan Malaysia kerana negara inilah yang telah banyak memberinya kehidupan yang selamat dan terjamin.

“Saya orang Malaysia. Saya orang Melayu. Ini negara saya. Saya lahir di sini. Saya membesar di sini. Dan saya banyak dapat manfaat daripada negara ni,” jelasnya.

Mahathir turut menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat dengan pelbagai kelebihan yang wajar dimanfaatkan demi kesejahteraan rakyat.

“Negara ini hebat. Iklimnya amat baik. Tanahnya subur. Kaya dengan bermacam hasil galian. Bagi saya, ia menawar pelbagai, dan banyak sudahpun tertunai. Ia boleh beri lebih lagi. Kalau kita tahu macam mana nak buat,” ujarnya.

Tambah beliau, selain tidak mempunyai tempat lain untuk pergi, beliau juga sentiasa menginsafi nasib segelintir manusia di dunia ini yang tidak mempunyai negara untuk dipanggil tanah air sendiri.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com
ARTIKEL BERKAITAN
Iklan