BUTTERWORTH – Seorang warga emas cedera ringan selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum merempuh sebuah bangunan yang sedang dalam proses pengubahsuaian di Jalan Jetty Lama, di sini, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kejadian berlaku sekitar jam 2.03 petang dan melibatkan seorang lelaki berusia 77 tahun.
“Sebaik menerima panggilan kecemasan, lima anggota bomba bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi. Mangsa didapati tersepit di tempat duduk pemandu kereta jenis Perodua Kenari selepas kenderaan itu hilang kawalan dan merempuh struktur bangunan yang sedang diubah suai,” katanya.
Operasi menyelamat menggunakan peralatan khas berjaya mengeluarkan mangsa kira-kira 20 minit kemudian, sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Tambah beliau, anggota bomba turut menjalankan kerja pembersihan sisa runtuhan dengan bantuan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), manakala kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut berada di lokasi bagi memastikan keselamatan sistem elektrik.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.04 petang.

