KUALA LUMPUR – Lagu Drunk Text yang menjadi siulan di seluruh dunia kini hampir mencecah angka setengah bilion strim di platform penstriman Spotify.
Penyanyi dan komposer muda, Henry Moodie menyifatkan kejayaan luar biasa itu sebagai rezeki yang tidak terduga dalam perjalanan seninya.
“Setengah bilion strim di Spotify? Sangat tak masuk akal. Tapi saya sangat bersyukur kerana ramai menyokong muzik saya.
“Saya masih tak percaya lagu ini dah capai tahap itu. Saya tak pasti benda ini akan berlaku lagi dalam hidup saya, tapi saya sangat-sangat bersyukur,” katanya.
Henry atau nama sebenarnya Henry James Moodie, 21, berkata kejayaan lagu Drunk Text tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan aplikasi TikTok dan peminat dari seluruh dunia.
Menurut pemuzik asal Guildford, England itu, TikTok memainkan peranan besar dalam melonjakkan populariti lagu berkenaan yang pada awalnya berkembang secara perlahan.
“TikTok kini merupakan aplikasi paling berkuasa dalam dunia. Ia benar-benar mengubah hidup saya.
“Saya masih ingat, awalnya lagu ini hanya mencatat 100,000 strim. Kemudian meningkat kepada sejuta strim selepas digunakan dalam banyak video TikTok. Sekarang, hampir 500 juta strim,” ujarnya.
Katanya, algoritma TikTok telah membantu melonjakkan jumlah penstriman Drunk Text secara mendadak sejak tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, Henry bakal mengadakan konsert solo Henry Moodie 2025 in Kuala Lumpur malam ini di Zepp Kuala Lumpur bermula jam 8 malam.
Konsert anjuran Live Nation itu turut menampilkan penyanyi Bradley Simpson sebagai opening act.
Tiket masih boleh didapati menerusi laman sesawang GoLive Asia.


