Jumaat | 14 November 2025
spot_img

Trump dakwa Coca-Cola setuju tukar ramuan kepada gula tebu, syarikat enggan sahkan perubahan

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mendakwa bahawa Coca-Cola bersetuju untuk menukar ramuan minuman ringan mereka di Amerika Syarikat kepada gula tebu sebenar, menggantikan sirap jagung fruktosa tinggi (HFCS), selepas rundingan bersama pihak syarikat itu.

Trump berkata beliau telah berbincang dengan pihak Coca-Cola mengenai penggunaan gula tebu sebenar dalam Coke yang dikeluarkan di Amerika Syarikat dan mendakwa syarikat itu telah bersetuju dengan cadangan tersebut menerusi satu hantaran di Truth Social pada Rabu.

Beliau juga menyifatkan perubahan itu sebagai satu langkah yang sangat baik.

“Anda akan lihat. Ia sememangnya lebih baik!,” tambahnya.

Bagaimanapun, Coca-Cola dalam kenyataan ringkas enggan mengesahkan atau menafikan dakwaan Trump, hanya menyatakan bahawa mereka menghargai semangat Presiden terhadap jenama ikonik Coca-Cola.

“Maklumat lanjut mengenai penawaran baharu yang inovatif dalam rangkaian produk Coca-Cola akan dikongsikan tidak lama lagi,” kata syarikat berpangkalan di Atlanta, Georgia itu.

Trump, yang dikenali sebagai peminat Diet Coke, tidak menjelaskan sebab di sebalik desakan tersebut, namun Setiausaha Kesihatan beliau, Robert F. Kennedy Jr., sebelum ini lantang mengkritik penggunaan bahan makanan ultra-proses seperti HFCS dalam diet rakyat Amerika.

Kennedy menyifatkan sirap jagung fruktosa tinggi sebagai formula untuk menjadikan anda obes dan menghidap diabetes dan berikrar untuk memerangi penggunaan meluas bahan seperti itu yang jarang ditemui di dapur biasa.

HFCS menjadi pilihan utama dalam pengeluaran makanan di Amerika kerana kosnya yang lebih rendah berbanding gula tebu, dibantu oleh subsidi kerajaan terhadap jagung serta tarif terhadap import gula.

Coca-Cola mula menggunakan HFCS dalam produk AS sejak 1980-an, tetapi masih mengekalkan gula tebu dalam produk mereka di luar negara termasuk di Mexico dimana versi minuman yang mendapat pujian kerana rasanya yang dikatakan lebih sedap.

Namun begitu, tiada bukti saintifik yang menunjukkan bahawa HFCS lebih memudaratkan berbanding gula tebu. Dalam satu helaian fakta tahun 2018, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) menyatakan bahawa mereka tidak menyedari sebarang bukti yang menunjukkan perbezaan dari segi keselamatan antara makanan yang mengandungi HFCS dengan yang menggunakan pemanis lain seperti gula atau madu.

Ezza Azira
Ezza Azira
ezza@portalmyberita.com
ARTIKEL BERKAITAN
Iklan