SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan mahu peraturan dan undang-undang yang lebih tegas diwujudkan bagi mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape, bukan hanya di negeri ini, malah di seluruh negara.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, walaupun pengharaman penggunaan vape telah dipersetujui dalam Majlis Raja-Raja untuk tindakan di peringkat negeri, pelaksanaannya masih memerlukan undang-undang yang jelas dan kukuh.
“Negeri Sembilan menyokong penuh langkah pengharaman ini, namun kita memerlukan peraturan dan undang-undang yang tegas. Seperti mana kita mengharamkan dadah, ada hukuman, ada denda, maka begitu juga halnya dengan vape,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Kedua Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pengharaman itu perlu disokong dengan kajian semula dari segi perundangan supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Oleh itu, perlu dikaji semula supaya ada peraturan, ada undang-undang yang boleh dilaksanakan apabila pengharaman ini dilakukan,” tegasnya.
Untuk rekod, enam negeri sebelum ini – Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang – telah mengambil langkah awal dengan melaksanakan larangan termasuk tidak memperbaharui lesen penjualan rokok elektronik di negeri masing-masing.
Usaha ini dilihat sebagai langkah penting dalam menangani peningkatan penggunaan vape, khususnya dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah yang semakin membimbangkan.

