Sabtu | 15 November 2025
spot_img

Umar kerja \’part-time\’ dekat kafe semata nak beli gitar bass sendiri, \”itupun yang murah je\”

KUALA LUMPUR – Di sebalik kesibukan sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Malaya (UM), pemain gitar bass kumpulan Dukes, Umar membuktikan bahawa minat terhadap muzik mampu mengatasi kekangan kewangan walaupun terpaksa bekerja part time di kafe demi memiliki gitar bass pertamanya.

Lahir dan dibesarkan di Kuala Lumpur, Umar, 23, mula mengenali dunia muzik sekitar tahun 2019 ketika negara berdepan penularan pandemik COVID-19.

“Saya baru belajar main bass masa tu. Belajar sendiri daripada YouTube sebab masa PKP tak tahu nak buat apa,” katanya.

Tanpa sebarang pendidikan formal dalam muzik, Umar mengasah kemahirannya secara sendiri melalui Youtube dan bahan video lain.

Namun untuk memiliki gitar bass pertamanya bukan mudah, semangatnya tidak pernah pudar apabila dia sanggup menjual semula peralatan lamanya untuk dinaik taraf.

“Saya kerja part time kat kafe. Kumpul duit sedikit demi sedikit. Saya beli bass pertama kat Shopee murah je masa tu,” ujarnya.

Kini, dia memiliki kelengkapan muzik bernilai ribuan ringgit yang diperoleh hasil titik peluh sendiri dan juga antara satu-satunya dalam keluarganya yang aktif dalam bidang muzik.

“Yang saya guna sekarang pun dalam RM1,200. Tapi kira murah berbanding rakan-rakan lain yang ada barang bernilai lebih RM8,000,” jelasnya.

Mengulas tentang kritikan, Umar mengakui tidak semua orang memahami perjuangan mereka untuk membangunkan sesebuah Kumpulan band indie di Malaysia.

“Kami band. Orang kadang tak pandang sangat muzik band. Tapi kami terus buat sebab kami percaya pada karya kami sendiri,” tegasnya.

Nurazmin Afza
Nurazmin Afza
azminafza@portalmyberita.com
ARTIKEL BERKAITAN
Iklan