Jumaat | 14 November 2025
spot_img

Aliff Syukri peruntuk hadiah RM10 juta, nazar bina dua rumah anak yatim

KUALA LUMPUR – Usahawan dan selebriti terkenal, Datuk Aliff Syukri, sekali lagi mencuri tumpuan apabila mengumumkan beliau telah memperuntukkan lebih RM10 juta dalam bentuk hadiah dan sumbangan bagi menjayakan kempen jualan beg keluarannya yang bakal berlangsung secara langsung pada 3 Ogos ini.

Menurut beliau, pelaburan besar itu termasuk hadiah-hadiah lumayan seperti percutian, bar emas, sebuah kereta serta pelbagai kejutan lain yang bertujuan untuk menarik sokongan peminat dan pelanggan dalam misi mencatat rekod jualan terpantas di Malaysia, di bawah pemantauan Malaysia Book of Records.

“Saya tak mahu orang kata ini semua sekadar gimik. Apa yang saya janjikan, itulah yang saya akan tunaikan. Hadiah yang kita sediakan memang bernilai lebih daripada RM10 juta,” jelasnya ketika sidang media yang diadakan di kediamanya, di sini, hari ini.

Aliff juga berkongsi bahawa beliau bernazar untuk membina dua buah rumah anak-anak yatim sekiranya berjaya mencatat rekod jualan RM2 juta secara langsung seperti yang disasarkan.

“Kalau berjaya, Alif-lam-lam-ha (demi Allah) saya akan tunaikan nazar itu. Tapi kalau tak capai pun, saya tetap akan sumbang, cuma mungkin tidak sebanyak yang dirancang,” katanya.

Pelanggan yang ingin menyertai kempen gores dan menang ini, mestilah membeli produknya dengan pantas ketika siaran langsung dibuat.

Beliau turut memberitahu bahawa walaupun pelbagai pihak pernah mempertikai usaha dan keikhlasannya, beliau kini mahu membuktikan bahawa jenama tempatan juga mampu mencipta pencapaian luar biasa dengan usaha sendiri, bukan sekadar bergantung kepada populariti atau kontroversi.

“Dulu orang kata saya tak bagi sumbangan. Sekarang saya nak rakam video, nak tunjuk berapa juta yang saya dah keluarkan. Saya serius, bukan main-main,” tegasnya.

Kempen jualan yang bakal disiarkan secara langsung di TikTok itu bukan sahaja akan menyaksikan pelancaran lebih 12 koleksi beg baharu, tetapi juga kerjasama strategik bersama beberapa selebriti terkenal tempatan sebagai duta produk.

“Impian ini dah lama saya simpan. Ini masanya saya buktikan. Saya percaya saya boleh.”

Aqilah Nadhirah
Aqilah Nadhirah
aqilahnadhirah@portalmyberita.com
ARTIKEL BERKAITAN
Iklan