KUALA LUMPUR – Usahawan dan personaliti media sosial, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, bakal mencipta sejarah Malaysia Book of Records (MBOR) dengan menjual beg tangan dan memperoleh hasil jualan bernilai RM1 juta dalam masa terpantas di platform TikTok pada 3 Ogos ini, jam 8 malam.
Tambahnya, walaupun rekod sedia ada iaitu RM1 juta dalam masa 3 minit 28 saat, beliau meletakkan sasaran lebih tinggi iaitu RM2 juta serta menyediakan stok mencukupi.
“Kali ini, kami memang bersedia dengan stok yang lebih banyak. Saya yakin kita boleh pecahkan rekod dan membuktikan bahawa jenama tempatan juga mampu bersaing di peringkat tertinggi,” katanya ketika ditemui media di kediamanya di sini, hari ini.
Jualan secara langsung itu akan diaudit sepenuhnya oleh wakil MBOR dan TikTok bagi memastikan ketelusan angka yang dicatatkan.
Aliff turut memberitahu bahawa matlamat utama beliau bukan sekadar mengejar angka, tetapi mahu menampilkan produk tempatan berkualiti tinggi yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia.
“Kami bukan sahaja hasilkan beg denim dengan rekaan eksklusif dan kemasan premium, malah kami tampilkan lebih 12 koleksi baharu serta berkolaborasi dengan tiga selebriti berprofil tinggi sebagai duta jenama,” katanya.
Menariknya, beliau turut memaklumkan bahawa kempen ini akan melibatkan hadiah-hadiah lumayan termasuk 3,000 unit beg untuk pembeli pantas, serta bar emas hasil kerjasama strategik bersama sebuah kedai emas tempatan.
Aliff juga menyentuh isu-isu yang pernah dipertikaikan sebelum ini seperti kualiti kain dan reka bentuk, dengan menegaskan semua aspek produk telah dinaik taraf termasuk penggunaan magnet lebih kuat, fabrik berkualiti premium dan reka bentuk custom-made.
“Saya sering dicabar dengan pelbagai kritikan, tetapi inilah masanya untuk saya buktikan dengan fakta dan pencapaian sebenar. Saya bukan hanya bercakap, tapi kami tampil dengan bukti,” katanya.


