KUALA LUMPUR – Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, berjanji akan membuat pengumuman rasmi Jumaat ini bagi menjawab segala persoalan berhubung dakwaan pembelian sebuah jet peribadi mewah bernilai jutaan ringgit yang tular baru-baru ini.
Menurut Aliff, 37, beliau terpaksa berdiam diri buat sementara waktu memandangkan isu itu melibatkan pelbagai pihak dan potensi kesan sampingan jika terlalu awal membuat pendedahan.
“Sebenarnya kalau cakap nanti orang kata saya riak. Kalau beritahu, nanti LHDN kejar pula. Jadi saya ambil keputusan untuk umumkan pada hari Jumaat nanti,” katanya ketika ditemui MYBERITA pada sesi minum petang bersama media, hari ini.
Tambah beliau, perkara tersebut bukan sekadar isu kecil kerana melibatkan nilai yang sangat besar dan turut menyentuh soal keselamatan serta pandangan masyarakat.
“Perkara ini besar sebab melibatkan nilai jutaan ringgit dan ramai orang. Doakan yang baik-baik sahaja. Bila lihat orang ada sesuatu, takut ada penyakit ain, jadi tunggu hari Jumaat sahaja,” katanya.
Aliff turut menegaskan, perkongsian video menaiki jet peribadi yang dimuat naik di Instagram baru-baru ini bukanlah satu gimik murahan seperti yang didakwa sesetengah pihak, sebaliknya merupakan impian sejak sekian lama.
“Jet peribadi ini memang impian saya. Bila video itu tular, saya sendiri terkejut. Niat saya hanya nak berkongsi kisah hidup. Tapi untuk tahu sama ada jet itu benar atau tidak milik saya, tunggu sahaja hari Jumaat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pengasas D’Herbs itu turut meluahkan rasa syukur terhadap sambutan luar biasa terhadap perniagaan jeruk mangga harumanis yang diusahakan bersama anak sulungnya, Ammar Ahyan, sejak awal tahun ini.
“Saya jual jeruk mangga ini secara kecil-kecilan, tak ada pun niat nak tunjuk hasil jualan itu saya dapat beli jet. Tapi saya teruja kerana macam mana jualan jeruk itu boleh dapat jutaan ringgit,” jelasnya.
Beliau juga mendedahkan, walaupun hanya berniaga secara dalam talian, sambutan yang diterima amat memberangsangkan hingga berjaya menjana pendapatan jutaan ringgit.
Sementara itu, Aliff turut berkongsi hasrat mencipta rekod dalam The Malaysia Book of Records menerusi ‘Kutipan Jualan Bag Tangan RM1 Juta Terpantas Melalui Penstriman Langsung’ yang akan berlangsung pada 3 Ogos ini, jam 8 malam di platform TikTok, @papalarisofficial.
Malam itu juga akan menyaksikan pelancaran koleksi terbaru beg tangan keluarannya iaitu Samma Bag Denim Edition, yang akan dipertaruhkan bagi merealisasikan impiannya itu.


