Gaji minimum RM1,700 sebulan dikuatkuasa penuh bermula 1 Ogos

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan penuh Perintah Gaji Minimum (PGM) sebanyak RM1,700 sebulan akan dikuatkuasakan kepada semua majikan di seluruh negara bermula 1 Ogos ini, menurut kenyataan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) hari ini.

Kadar baharu itu sebelum ini telah mula dilaksanakan secara berperingkat sejak 1 Februari lalu, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025. Ia melibatkan majikan yang mempunyai lima pekerja dan ke atas, serta mereka yang menjalankan aktiviti profesional sebagaimana diklasifikasikan dalam Malaysia Standard Classification of Occupations (MASCO) 2020.

Bagaimanapun, majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja diberikan tempoh penangguhan selama enam bulan yang bakal tamat pada 31 Julai ini.

“Bermula 1 Ogos ini, semua majikan tanpa pengecualian, termasuk yang menerima penangguhan sebelum ini, perlu mematuhi perintah gaji minimum RM1,700 sebulan,” kata Kesuma.

PGM ini turut melibatkan pekerja bukan warganegara dan pekerja kontrak perantisan, namun tidak terpakai kepada pekhidmat domestik.

Kementerian turut menegaskan bahawa majikan wajib mematuhi kadar minimum ini bagi melindungi hak pekerja seperti yang ditetapkan di bawah undang-undang sedia ada. Malah, mereka digesa untuk melakukan penyesuaian operasi secara progresif termasuk pelaburan dalam latihan kemahiran dan peningkatan produktiviti.

Kegagalan mematuhi perintah ini merupakan satu kesalahan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732]. Jika disabitkan, majikan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja dan tambahan RM1,000 sehari jika kesalahan berterusan. Bagi kesalahan berulang, denda maksimum boleh mencecah RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun.

Kesuma juga menggalakkan majikan untuk menyertai Dasar Gaji Progresif (DGP) yang bersifat sukarela dan bertindak sebagai pelengkap kepada gaji minimum. Melalui DGP, majikan boleh menaikkan pendapatan pekerja mengikut produktiviti, kemahiran dan sumbangan kerja, di samping menerima insentif tunai bersasar daripada kerajaan.

BACA JUGA:  Ahmad Zahid umum sasaran Tabika Autisme di semua daerah menjelang 2027

“Ini akan membantu syarikat mengekalkan pekerja berkemahiran tinggi serta mengukuhkan daya saing jangka panjang dalam pasaran buruh,” jelas kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan atau aduan mengenai pelaksanaan gaji minimum boleh dikemukakan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) seluruh negara atau menerusi laman web rasmi Kesuma di www.minimumwages.mohr.gov.my.

Raihan Hazizi
Raihan Hazizi
raihanhazizi@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...