Sabtu | 15 November 2025
spot_img

Megat Sharizal puji inisiatif FINAS, nasihat pelajar UiTM terus berkarya

KUALA LUMPUR – Pengarah filem, penulis skrip dan pelakon terkenal, Megat Sharizal, menekankan kepentingan konsistensi dan semangat tidak mudah putus asa kepada para pelajar yang mula melangkah ke dalam industri filem tanah air.

Tambahnya, beliau juga turut memuji usaha Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang dilihat semakin giat memberi ruang kepada pengarah baharu menerusi pelbagai inisiatif.

“Buat lagi dan buat lagi, jangan give up. Kepada yang menang, pandang langit, jangan lupa tanah,” katanya ketika ditemui MYBERITA semasa sidang media Cine-Royale: The Grand Premiere – Final Year Project Film Showcase, yang berlangsung di IOI Mall Damansara, pada Rabu.

“Apa yang FINAS buat sekarang sangat bagus, mereka beri laluan kepada pengarah baru untuk tampil dengan karya sulung mereka. Peluang seperti ini yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Megat turut memberikan pandangan terhadap trend pelakon yang kini beralih arah menjadi pengarah.

Beliau turut menasihatkan agar pengarah muda tidak hanya mengejar gelaran semata-mata, sebaliknya perlu memahami keseluruhan proses produksi.

“Ramai sebenarnya yang berbakat, tapi tidak diberi peluang. Saya sendiri ambil masa lebih 20 tahun sebelum hasilkan filem pertama,” tambahnya.

Beliau juga menegaskan pelajar seharusnya tidak hanya memberi tumpuan untuk menjadi pengarah sahaja, sebaliknya perlu merasai sendiri pengalaman bekerja di setiap \’department\’ atau jabatan bagi memahami realiti sebenar dunia perfileman.

Ketika ditanya mengenai pengarah baharu yang datang dari kalangan pelakon, Megat mengakui tidak pasti siapa yang dimaksudkan dan memohon maaf sekiranya tersilap fakta.

Namun begitu, beliau menyatakan keterujaan untuk menantikan filem sulung daripada Cik Putri Purnama Sugua, salah seorang panel jemputan dan alumni FiTA.

CineRoyale: Tayangan Perdana Gemilang ini mempersembahkan hasil karya pelajar tahun akhir dari Program Filem, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana dengan kerjasama Golden Screen Cinema
(GSC).

Program yang dianjurkan oleh pelajar Semester 4 program Ijazah Sarjana Muda
Kepujian Filem (Pengarahan), Ijazah Sarjana Muda Kepujian Filem (Sinematografi) dan Diploma Filem, tayangan ini merangkumi pelbagai karya pelajar daripada filem pendek, iklan televisyen (TVC) hingga pengumuman khidmat masyarakat (PSA) yang mengetengahkan tema sosial penting melalui lensa kreatif yang segar.

Ezza Azira
Ezza Azira
ezza@portalmyberita.com
ARTIKEL BERKAITAN
Iklan