KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Hafiz Suip mengesahkan telah bercerai talak satu dengan isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah dalam satu prosiding yang berlangsung di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 29 Mei lalu.
Hafiz atau nama penuhnya, Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 35, berkata meskipun ikatan perkahwinan mereka sudah terlerai, beliau memilih untuk menyerahkan hak penjagaan kedua-dua anak lelaki mereka kepada bekas isteri atas dasar pertimbangan seorang bapa.
“Secara rasmi saya dan isteri sudah bercerai talak satu pada 29 Mei. Buat masa ini, anak-anak berada di bawah jagaan bekas isteri kerana pada saya, secara rasionalnya, ibu adalah tempat paling sesuai untuk anak-anak berlindung. Saya tidak mahu bertelagah soal hak penjagaan kerana jika mahu berkeras, perkara ini tidak akan pernah selesai,” katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama media di Bienz, Wangsa Maju semalam.
Juara Akademi Fantasia musim ketujuh itu turut memaklumkan bahawa hubungan antara beliau dan bekas isteri kekal baik demi kebajikan anak-anak, meskipun kini beliau menetap di Kuching, Sarawak.
Menurut Hafiz, beliau berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan sebarang kekusutan melibatkan anak-anak dan mengambil pendekatan damai dalam segala urusan selepas penceraian.
“Kalau nak kata saya tak rindu anak, itu mustahil. Setiap hari saya fikirkan mereka, rasa nak telefon tapi faham mereka juga ada komitmen belajar dan rutin harian masing-masing. Saya dan bekas isteri masih berbincang bagaimana untuk saya bertemu anak-anak, mungkin sebulan sekali saya akan ke Kuala Lumpur. Saya tak mahu menimbulkan masalah lagi. Cukuplah dengan turun naik mahkamah sebelum ini. Penat,” luahnya.
Dalam pada itu, Hafiz turut menzahirkan rasa reda dengan segala ketentuan yang berlaku dalam rumah tangganya dan menganggap pengalaman tersebut sebagai ujian yang membentuk kematangan diri.
“Saya reda. Ini semua ujian yang memberi pengalaman dan pengajaran dalam hidup. Kalau kita asyik menyalahkan satu sama lain, hati tidak akan tenang. Islam mengajar kita untuk berdamai dengan takdir. Jadi kalau mahu berkahwin, kena fikir betul-betul dan bersikap matang,” katanya.
Untuk rekod, Hafiz dan Nureffy mendirikan rumah tangga pada 14 Mei 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayne, 5.

