KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat menguruskan pembekalan kamera badan kepada anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) bagi meningkatkan tahap keselamatan serta ketelusan ketika bertugas di lapangan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, keperluan pemakaian kamera badan amat penting khususnya bagi anggota barisan hadapan yang sering terlibat secara langsung dalam operasi rondaan dan penguatkuasaan.
“Kita sudah minta supaya semua anggota terutama dari URB serta MPV dibekalkan dengan alat itu (kamera badan). Jumlah keseluruhan yang kita sudah pakai di seluruh negara adalah 7,648 unit untuk fasa pertama dan kita akan peroleh lagi kira-kira 10,000 unit bagi fasa kedua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Korperal Mohd. Nadzri Sudiman, 35, anggota MPV yang parah ditikam ketika bertugas dalam insiden di Pasar Pudu, kelmarin.
Mengulas lanjut, Tan Sri Ayob Khan memaklumkan bahawa anggota terlibat ketika kejadian tidak memakai kamera badan, namun sedang menjalankan rondaan jenayah bersama rakan setugas.
Insiden berkenaan mendapat perhatian umum apabila media melaporkan seorang suspek lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah bertindak menikam anggota polis berkenaan hingga parah.
Menurut Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, pihak polis turut menemukan dadah jenis heroin pada suspek terbabit.
Tambahnya, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Khamis depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
PDRM menegaskan bahawa inisiatif pembekalan kamera badan ini akan terus dipercepatkan bagi memastikan keselamatan anggota serta ketelusan dalam sebarang tindakan penguatkuasaan dapat ditingkatkan.

