KULIM – Semangat membara untuk menjejakkan kaki ke menara gading nyata bukan sesuatu yang asing buat Chia Ree Yaa, 18, apabila beliau memilih Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) sebagai destinasi pengajian tinggi selepas meraih keputusan cemerlang 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Pelajar dari Sungai Karangan, Kulim ini kini mengikuti pengajian dalam bidang Diploma Perakaunan dan berhasrat untuk menjadi seorang akauntan profesional pada masa hadapan.
“Saya minat bidang perakaunan kerana ia menawarkan banyak peluang kerjaya. Bila tengok pendekatan di PTSB yang banyak beri pendedahan praktikal dan pengalaman industri, saya yakin ini langkah terbaik untuk masa depan saya,” katanya ketika ditemui selepas sesi pendaftaran pelajar baharu, baru-baru ini.

Ree Yaa turut menjadikan dua orang kakaknya sebagai sumber inspirasi utama kerana kedua-duanya turut mencatat keputusan semua A dalam SPM dan kini sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam. Kakaknya, Chia Ree Yen kini menuntut dalam Ijazah Sarjana Muda Matematik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala seorang lagi kakaknya, Chia Ree Naa mengikuti Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Menurut ibunya, Bhuvaneswari A/P Jeyapalan, keluarga mereka tidak pernah meletakkan sebarang diskriminasi terhadap pilihan institusi pendidikan, sebaliknya menitikberatkan minat dan kesungguhan anak-anak.
“Saya gembira anak saya masuk politeknik. Ayahnya juga bekas pelajar politeknik. Kami yakin PTSB mampu beri asas yang kukuh untuk kerjaya Ree Yaa. Saya harap dia seronok belajar dan manfaatkan semua peluang yang ada,” katanya.
Tambahnya lagi, ibu bapa harus menjadi tempat yang selamat dan terbuka untuk anak-anak berkongsi impian serta membuat pilihan masa depan.
“Kalau kita bagi dorongan penuh, anak lebih yakin dengan keputusan sendiri dan berani mencuba sesuatu yang baru,” ujarnya.
Bagi Ree Yaa, keluarga merupakan sumber kekuatan utama yang banyak memberi semangat untuk terus melangkah jauh demi mencapai impiannya menjadi seorang profesional dalam bidang perakaunan.


