KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memberikan kebenaran rasmi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menggali semula jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir bagi tujuan menjalankan prosedur bedah siasat kali kedua.
Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut, Papar, meninggal dunia sehari selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah berkenaan pada 16 Julai lalu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, AGC memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas meneliti keperluan untuk siasatan lanjut yang lebih menyeluruh.
“Jabatan ini berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” kata AGC.
Menurut AGC lagi, laporan awal siasatan telah dikembalikan semula kepada PDRM bersama beberapa arahan lanjut, termasuk keperluan menggali semula jenazah untuk bedah siasat semula.
Tindakan ini dilihat penting bagi mendapatkan maklumat serta bukti tambahan dalam usaha melengkapkan siasatan berhubung punca sebenar kematian remaja berusia 13 tahun itu.
Insiden tragik ini turut dikaitkan dengan kemungkinan wujud unsur buli terhadap mangsa, seperti yang pernah dinyatakan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Setakat ini, siasatan masih diteruskan dan pihak berkuasa meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.

