SHAH ALAM – Pentas akhir Raise The Star Malaysia (RTSMY) menyaksikan Didie Shazry diumumkan sebagai juara, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, sebuah trofi dan peluang merakamkan single baharu ciptaan Aina Abdul berjudul Peganglah Hati.
Gelaran naib juara menjadi milik Zuana yang berjaya membawa pulang wang tunai RM20,000, manakala Rayme di tempat ketiga dengan hadiah RM10,000, sebuah trofi dan lagu baharu. Hariz Fayahet pula menamatkan saingan di tempat keempat diikuti Keka di tempat kelima, dengan kedua-duanya membawa pulang RM5,000 berserta trofi dan lagu baharu masing-masing.
Malam kemuncak turut menyaksikan lima komposer ternama mempersembahkan karya baharu mereka melalui finalis masing-masing. Lagu Hantaran Cinta ciptaan Ajai dinyanyikan oleh Zuana, manakala Gergasi hasil nukilan Audi Mok disampaikan oleh Rayme. Shila Amzah mempertaruhkan lagu Cinta Dusta untuk Keka, sementara Aina Abdul menghadiahkan Peganglah Hati buat juara, Didie Shazry. Ikhwan Fatana pula mempertaruhkan Lara Bertahan yang dipersembahkan oleh Hariz Fayahet.
Selain kemenangan utama, Pasya turut mencuri perhatian apabila merangkul gelaran U Mobile Unbeatable Star sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000, manakala anugerah Gempak Star On Fire minggu akhir dimenangi oleh Zury.
Sepanjang lapan minggu bersiaran secara langsung dari Royale Theater Shah Alam, program yang dihoskan oleh Alif Star dan Sherry AlHadad ini menampilkan barisan juri tetap terdiri daripada Ajai, Shila Amzah, Ikhwan Fatana, Audi Mok dan Tomok. Markah keseluruhan peserta ditentukan menerusi 80 peratus penilaian juri dan 20 peratus undian peminat.

