KUALA LUMPUR – Lagu khas bertajuk Justice For Zara Qairina ciptaan sepenuhnya oleh Norsalim Ali tular di media sosial sebagai tanda solidariti terhadap kematian tragis pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Sabah, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Karya yang disulam elemen rap itu menjadi muzik latar dalam ribuan hantaran berkaitan Allahyarham, yang ditemui tidak sedarkan diri di longkang asrama sekolah pada jam 3 pagi, 16 Julai lalu.
Lagu tersebut sarat dengan mesej pengorbanan, kemarahan, dan solidariti rakyat Malaysia, di samping menyeru agar kebenaran ditegakkan berhubung punca kematian yang masih dalam siasatan.
Antara bait lirik yang mencuri perhatian adalah “Kata mereka, kau jatuh sendiri. Tapi benarkah itu realiti?”, yang dilihat mempersoalkan naratif sebenar insiden tersebut.
Setakat ini, lagu Justice For Zara Qairina sudah digunakan hampir 3,000 kali sebagai muzik latar di Instagram, dimainkan lebih 3.2 juta kali di TikTok, dan video liriknya di YouTube meraih lebih 200,000 tontonan sejak dimuat naik beberapa hari lalu.

