SEPANG – Seorang pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 mengalami kecederaan selepas diserang oleh seorang wanita warga China dalam kejadian malam kelmarin.
Insiden berlaku sekitar jam 7.40 malam ketika pegawai berkenaan menjalankan pemeriksaan pelepasan terhadap wanita tersebut yang hadir bersama seorang lelaki dan dua kanak-kanak.
Pemeriksaan mendapati kumpulan itu tidak memiliki rekod pergerakan masuk ke Malaysia, sekali gus memerlukan semakan lanjut oleh penyelia bertugas.
Menurut kenyataan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKSEM), wanita berusia lingkungan 30-an itu dipercayai berang selepas diminta memberi laluan kepada penumpang lain sementara semakan dilakukan.
“Suspek bertindak memaki hamun dengan kata-kata kesat sebelum menarik tudung pegawai dan menolak kepala mangsa ke arah tiang di hadapan kaunter,” kata kenyataan itu.
Situasi menjadi tegang apabila suspek enggan mematuhi arahan untuk bertenang sehingga berlaku pergelutan kecil. Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) kemudian dipanggil bagi mengawal keadaan dan menahan wanita terbabit.
Akibat serangan itu, pegawai imigresen berkenaan mengalami bengkak di mata kiri, sakit kepala di bahagian kanan serta lenguh badan. Mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Cyberjaya dan membuat laporan polis.
Suspek kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 186, Seksyen 332 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, insiden ini berlaku hanya beberapa hari selepas kejadian berasingan di Kajang yang melibatkan serangan tikaman rawak oleh seorang wanita warga asing sehingga mencederakan enam orang awam.



