Sabtu | 15 November 2025
spot_img

Agong berkenan pandu tren ETS dari KL ke Rawang

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan memandu sendiri Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Kuala Lumpur ke Rawang, Selangor.

Menurut hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, Seri Paduka Baginda tiba di Stesen Keretapi Kuala Lumpur pada jam 9.15 pagi sebelum memasuki kokpit ETS2 untuk menerima taklimat pemanduan.

“Taklimat itu dipersembahkan oleh Kapten Roslan, Kapten Hairul Yani dan Kapten Syukri Ghazali. Turut hadir ialah Ketua Kawalan Operasi KTMB, Sadun Abdullah serta Inspektor Lokomotif, Kamal Asmawi,” menurut kenyataan Istana Negara.

Mengiringi Seri Paduka Baginda dalam perjalanan Kuala Lumpur–Rawang–Kuala Lumpur ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan; Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Tan Sri Dr Azmi Rohani; serta Ketua Pegawai Teknikal merangkap pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Ir Ahmad Nizam Mohamed Amin.

Pemanduan itu mengambil masa kira-kira sejam secara keseluruhan.

Sultan Ibrahim sebelum ini mencipta sejarah apabila menjadi Sultan pertama di Malaysia menerima lesen memandu Lokomotif Berkuasa Tinggi Kelas 26 pada tahun 2010, sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records.

Baginda turut pernah memandu kereta api semasa program Kembara Mahkota Johor (KMJ 2010) termasuk melaksanakan prosedur turn table bagi memusingkan lokomotif seberat 86 tan dalam masa 10 minit di Stesen Gemas, Negeri Sembilan.

Pada program itu juga, Sultan Ibrahim memandu kereta api sejauh 391.3 kilometer selama tiga hari, menjadikan Baginda Sultan pertama melakar pencapaian tersebut.

Raihan Hazizi
Raihan Hazizi
raihanhazizi@portalmyberita.com
ARTIKEL BERKAITAN
Iklan