KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada Gabungan Persatuan-persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) bagi memastikan kelangsungan program serta aktiviti gabungan itu berjalan lancar.
Anwar berkata, kerajaan tidak mahu sebarang kekangan kewangan menjejaskan usaha persatuan berkenaan dalam memperkasakan golongan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.
“Saya percaya tidak seharusnya ada halangan yang mengganggu perjalanan program yang telah disusun. Jadi, saya luluskan RM500,000 untuk membantu gabungan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Jubli Emas GPPPKMM yang diadakan di ibu negara, malam tadi.
Beliau turut berharap dana itu dapat digunakan dengan sebaiknya bagi memberi manfaat kepada semua ahli gabungan, sekali gus menyemarakkan lagi semangat keusahawanan dalam kalangan peniaga kecil Melayu.

