NILAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penguasaan terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital tidak boleh mengorbankan nilai, budaya serta jati diri rakyat Malaysia.
Menurutnya, meskipun AI dan teknologi digital membuka ruang besar dalam pembangunan negara, penerapannya perlu diimbangi dengan budaya tempatan agar rakyat tidak kehilangan akar tradisi serta keperibadian bangsa.
“Kita tak mahu AI dan digital menyebabkan kesenjangan membengkak antara golongan yang punya pendedahan dan rakyat biasa.
“Kita tidak mahu penguasaan digital dan AI menyebabkan kita kehilangan jati diri, nilai, akhlak dan keyakinan agama serta budaya,” katanya ketika berucap merasmikan Program Madani Rakyat 2025 Negeri Sembilan di Dataran Nilai, pada Sabtu.
Anwar menegaskan, penerapan AI di Malaysia perlu disesuaikan dengan keperluan negara, bukan sekadar meniru model dari Amerika Syarikat, Eropah atau China.
“Kita harus memastikan anak-anak kita faham apa itu digital, faham apa itu AI dan kemudian mampu menghasilkan sesuatu yang sesuai dengan pemikiran kita. Kita boleh ambil daripada semua negara tetapi kita pertahankan nilai dan budaya kita. Itu yang disebut latihan dan penguasaan teknologi baharu,” ujarnya.
Beliau turut mengimbas kembali kebimbangan awal terhadap penggunaan komputer, namun menegaskan benteng pertahanan utama bukan sahaja dari segi teknologi, tetapi juga bermula di rumah melalui pendidikan akhlak dan nilai.
“Sebab itu saya katakan, benteng pertahanan yang disebut sebagai ‘firewall’ itu bukan sahaja dalam teknologi. Ia juga perlu wujud di rumah melalui pemahaman akhlak dan nilai yang kita asuh dalam keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan tentang risiko “productivity paradox” iaitu apabila pelaburan besar dalam teknologi tidak memberi kesan nyata kepada produktiviti atau perkhidmatan rakyat.
“Kerajaan mengambil inisiatif memperkenalkan fakulti AI di institusi pengajian tinggi seperti UTM, UKM, UPM, UUM dan USIM bagi melahirkan bakat tempatan dalam bidang teknologi.
“Ilmu ini harus diterima, difahami dan disesuaikan dengan cara pemikiran kita sendiri. Kita perlu hasilkan sistem yang mengakar di bumi dan tidak hilang arah di langit,” tambahnya.


