KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dijadual menghadiri Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 25 Ogos ini di Jeddah, Arab Saudi.
Menurut kenyataan Wisma Putra, mesyuarat itu akan menumpukan perbincangan terhadap situasi terkini serangan berterusan Israel terhadap Palestin, termasuk cadangan rejim Zionis untuk mengambil alih sepenuhnya wilayah Semenanjung Gaza secara paksa.
“Mesyuarat ini juga akan membincangkan visi peluasan wilayah ‘Greater Israel’ yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa, selain isu pembinaan ribuan penempatan haram di kawasan E1 antara Baitulmaqdis dan Ma’ale Adumim di Wilayah Palestin yang diduduki (OPT),” jelas kenyataan itu.
Dalam kesempatan sama, Mohamad dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat di sela-sela mesyuarat berkenaan bagi membincangkan usaha kolektif menamatkan penderitaan rakyat Palestin di Gaza.
Penderitaan rakyat Palestin dilaporkan semakin kritikal ekoran sekatan berterusan oleh rejim Israel yang mengekang kemasukan bantuan kemanusiaan, termasuk makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas.
“Penyertaan Menteri Luar ke mesyuarat tergempar ini adalah bukti komitmen berterusan Malaysia dalam memperjuangkan hak-hak Palestin ke arah sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” menurut Wisma Putra.

