KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sekali lagi mengetengahkan persoalan mengenai ketelusan sistem pemilihan pelajar universiti awam, selepas timbul polemik berhubung kes pelajar cemerlang STPM, Edward Wong yang tidak berjaya mendapat tempat dalam program perakaunan Universiti Malaya (UM).
Menurut Wee, angka rasmi yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menimbulkan kekeliruan apabila mendakwa UM hanya menawarkan 85 tempat untuk program perakaunannya, sedangkan rekod universiti menunjukkan jumlah graduan jauh lebih besar sejak lebih sedekad lalu.
“Data daripada UM sendiri jelas menunjukkan purata sekitar 150 graduan perakaunan setahun antara 2011 hingga 2024. Jadi, bagaimana angka 85 tempat itu boleh dianggap tepat?” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau turut menegaskan isu ini bukan sekadar soal angka, sebaliknya melibatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem kemasukan berpusat universiti awam (UPU) yang dikatakan berasaskan merit.
“Kalau semua pemohon sudah mencapai merit tertinggi, apakah mekanisme seterusnya yang benar-benar telus dan konsisten digunakan untuk menilai mereka?” soal Wee.
Nada sama turut disuarakan Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) yang menuntut UM menjelaskan kriteria pemilihan, khususnya apabila 1,127 pemohon memperoleh merit penuh tetapi hanya 85 yang dipilih.
Kata mereka, persoalan ini penting kerana melibatkan kepercayaan umum terhadap sistem pendidikan tinggi negara.
Isu berkenaan turut mencetus tanda tanya mengenai dasar pengambilan pelajar bagi kursus kritikal seperti perakaunan, ketika negara masih bergantung kepada kira-kira 30,000 akauntan sahaja – separuh daripada sasaran 60,000 profesional bidang itu yang diperlukan.
Dalam pada itu, Wee juga menyorot tawaran alternatif UM kepada Wong melalui sistem pengambilan terus yang dikenali sebagai program “Satu”, namun dengan yuran jauh lebih tinggi. Katanya, hal itu menimbulkan persepsi bahawa universiti mungkin mengutamakan keuntungan berbanding akses saksama untuk pelajar berkelayakan.
“Kita perlukan penjelasan menyeluruh. Adakah keputusan ini dibuat secara dasar atau sewenang-wenangnya? Dan yang lebih penting, adakah ia benar-benar berpihak kepada keperluan negara dan pelajar cemerlang?” tegas beliau.

