KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa transformasi digital dan pembangunan kecerdasan buatan (AI) tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut kemajuan teknologi semata-mata, sebaliknya perlu berpaksikan nilai, budaya serta kelestarian.
Menerusi ciapan di Facebook rasmi beliau hari ini, Anwar berkata, gagasan Kota MADANI yang sedang dirintis kerajaan berfungsi sebagai wahana untuk memperkasa rakyat, memperluas peluang, serta memastikan seluruh warga menikmati manfaat daripada perkembangan teknologi.
“Kota yang benar-benar pintar tidak hanya berlandaskan teknologi, tetapi mesti menjadi ruang hidup yang inklusif, lestari dan berbudaya,” katanya.
Dalam hantaran itu, beliau turut merujuk pemikir Islam, Ibnu Khaldun yang menegaskan kota adalah pusat tamadun menerusi teori Umran Hadari, selain memetik penulis Amerika Syarikat, Mark Twain yang mengingatkan agar kota tidak sekadar menjadi “hutan konkrit yang tandus budaya”.
Anwar menambah, tekad membangunkan Smart City Kuala Lumpur berlandaskan prinsip MADANI adalah ikhtiar kerajaan bagi menjadikan Malaysia negara yang berdaya saing dalam bidang ekonomi dan inovasi, di samping memastikan keadilan sosial, kelestarian alam sekitar serta maruah nasional sentiasa terpelihara.


