KUALA LUMPUR – Mana-mana murid yang terjejas akibat banjir di Sabah dan Sarawak diberi kelonggaran untuk tidak memakai pakaian seragam sekolah sempena pembukaan sesi persekolahan selepas Cuti Penggal 2 Sesi 2025/2026.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, murid yang terkandas dan tidak dapat hadir ke sekolah juga dibenarkan mengikuti sesi pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“KPM pada waktu ini sedang melakukan persiapan bagi pembukaan sekolah selepas cuti penggal termasuk kerja-kerja pembersihan dan bantuan penyelenggaraan di sekolah terjejas banjir.
“Murid terjejas banjir diberi kelonggaran untuk tidak memakai seragam sekolah, manakala murid yang terkandas boleh mengikuti PdPR,” jelas kenyataan itu.
Menurut KPM, pihaknya turut menyediakan sokongan menyeluruh kepada murid terlibat, merangkumi penyediaan bahan pembelajaran serta bantuan psikososial dan emosi.
Dalam pada itu, kementerian berkenaan menasihatkan ibu bapa, penjaga, guru serta pegawai kumpulan pelaksana yang terjejas untuk memaklumkan situasi masing-masing kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri.
“Sekolah serta pejabat pendidikan daerah juga diminta mendapatkan maklumat terkini situasi banjir daripada sekretariat jawatankuasa pengurusan bencana negeri, jabatan pendidikan negeri dan agensi berkaitan,” kata kenyataan itu lagi.
Setakat jam 8 pagi ini, sebanyak 69 buah sekolah di Sabah dan Sarawak dilaporkan terjejas akibat banjir.
Daripada jumlah itu, 33 sekolah rendah dan lima sekolah menengah melibatkan negeri Sabah, manakala Sarawak membabitkan 28 sekolah rendah serta tiga sekolah menengah.
Selain itu, tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut beroperasi di premis institusi pendidikan KPM di Sabah bagi menempatkan mangsa banjir.

