Sabtu | 25 Oktober 2025
spot_img

Netizen desak pihak polis ambil tindakan aksi bahaya basikal lajak di Kuantan

KUANTAN – Satu rakaman dashcam memaparkan sekumpulan remaja lelaki menunggang basikal lajak secara berbahaya di jalan berkembar berhampiran Jambatan Kedua Tanjung Lumpur di sini mencetuskan kemarahan orang ramai.

Video berdurasi 20 saat yang kini tular itu menunjukkan empat kanak-kanak menunggang lajak sambil melakukan aksi berbahaya, termasuk gaya ‘Superman’ dan merendahkan badan sepenuhnya ketika melalui selekoh di jejambat berkenaan.

Seorang pemandu yang merakam kejadian terpaksa beberapa kali membunyikan hon kerana mereka menunggang di kedua-dua lorong secara melulu.

Namun, kumpulan itu tetap memecut laju di laluan kecemasan tanpa mempedulikan amaran.

Tindakan berbahaya itu mengundang kecaman netizen yang mendesak pihak polis segera mengambil tindakan.

Ada yang menyifatkan fenomena basikal lajak seolah-olah tiada penghujung, malah ada yang menyamakan mereka sebagai “adik” kepada mat rempit.

Sebilangan pengguna media sosial turut mengaitkan insiden itu dengan tragedi basikal lajak di Johor pada 18 Februari 2017 yang meragut nyawa lapan remaja berusia 13 hingga 16 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya sedang mengesan empat remaja terbabit.

“Setakat ini, kami belum menerima laporan berhubung kejadian itu. Namun, identiti mereka sedang dikenal pasti kerana perbuatan itu jelas membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam mesej ringkas, hari ini.

Ezza Azira
Ezza Azira
ezza@portalmyberita.com
ARTIKEL BERKAITAN
Iklan