KUANTAN â Seorang lelaki berusia 20 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 217.4, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur, di sini pagi Isnin.
Mangsa, Lee Jun Jin, yang beralamat di Klang, Selangor, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam insiden yang berlaku sekitar jam 7.45 pagi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan.
âMayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat,â katanya ketika dihubungi.
Menurut Mohd Adli, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk pemeriksaan terhadap motosikal jenis Yamaha R15 yang ditunggang mangsa oleh pihak PUSPAKOM.
âUsaha turut dijalankan untuk mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,â ujarnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi undang-undang jalan raya bagi memastikan keselamatan diri serta pengguna lain.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat menerusi talian rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di 09-5652222.

