Ahad, 23 Ogos 2026
IKLAN PTPTN

Cabutan Prime Bonanza

Simpan SSPN Prime & rebut hadiah menarik.

Sertai →
NasionalJika Selangor juara Sukma, cuti atau tidak ?, Amirudin buka undian rakyat

Jika Selangor juara Sukma, cuti atau tidak ?, Amirudin buka undian rakyat

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mencetuskan keterujaan dalam kalangan rakyat negeri itu selepas membuka undian mengenai cadangan pemberian cuti sekiranya Selangor muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026.

Menerusi hantaran di Threads malam ini, Amirudin meminta pandangan rakyat sama ada kerajaan negeri wajar mengisytiharkan cuti sekiranya kontinjen Selangor berjaya menjuarai temasya berkenaan.

“Apa pandangan rakyat Negeri Selangor jika Kerajaan Negeri isytihar cuti sekiranya Selangor menjuarai Kejohanan Sukma 2026? Cuba undi di bawah,” katanya.

Beliau turut menyediakan dua pilihan dalam undian berkenaan iaitu ‘Setuju’ dan ‘Tidak Setuju’.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna media sosial menyambut baik cadangan tersebut, malah ada yang berseloroh meminta cuti berkenaan diberikan seawal esok.

Antara komen yang diterima termasuk permintaan supaya kerajaan negeri mengumumkan cuti bagi meraikan kejayaan kontinjen Selangor, selain ada yang mengaitkannya dengan rancangan percutian bersama keluarga.

Sebelum ini, kerajaan Selangor dilaporkan sedang mempertimbangkan pemberian cuti peristiwa sekiranya kontinjen negeri itu muncul juara keseluruhan Sukma 2026.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, perkara itu akan diusulkan kepada Amirudin sebagai tanda penghargaan kepada rakyat yang memberikan sokongan sepanjang temasya berlangsung.

Menurutnya, sebarang keputusan berhubung pemberian cuti berkenaan hanya akan dimaklumkan selepas kiraan pingat dimuktamadkan.

Selangor sebelum ini menetapkan sasaran 80 pingat emas pada Sukma 2026 dan berjaya melepasi sasaran tersebut apabila mengumpul 85 pingat emas setakat jam 3 petang hari ini.

Perkembangan itu sekali gus meningkatkan harapan rakyat Selangor untuk melihat kontinjen negeri mereka muncul juara keseluruhan dan menikmati cuti khas sebagai tanda meraikan kejayaan tersebut.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-