KUALA LUMPUR – Trend menghasilkan gambar bersama artis menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin tular di media sosial, namun isu tersebut kini mencetuskan perdebatan mengenai privasi dan etika.
Seorang pengguna Threads tampil menegur trend itu dengan menekankan walaupun penggunaan AI tidak salah, namun gambar berkenaan tidak wajar dimuat naik apatah lagi menandai (tag) artis terbabit.
“Tak salah nak buat AI ni, saya sendiri pun banyak edit guna AI. Tapi satu je, jangan post kat media sosial dan tag artis tu sendiri, atau kalau boleh jangan post langsung. Simpan untuk diri sendiri je. Tengok caption pun dah tahu artis tu uncomfortable,” tulis individu tersebut.
Isu itu mendapat perhatian apabila pelakon popular Nadhir Nasar sendiri dilihat berkongsi semula (repost) suntingan AI wajahnya di Instagram, lalu memberikan reaksi bercampur.
“Trend ni lawak dan menakutkan pada masa yang sama,” tulisnya ringkas.
Kenyataan Nadhir mencetuskan pelbagai respon netizen.
Rata-rata bersetuju bahawa penggunaan teknologi AI perlu dikawal agar tidak menjejaskan keselesaan dan privasi selebriti.
Malah, ada yang berpandangan teknologi tersebut seharusnya digunakan secara beretika, tanpa melibatkan individu sebenar yang mungkin tidak selesa menjadi bahan suntingan.
Fenomena ini sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai batas kreativiti digital dan tanggungjawab pengguna media sosial dalam menghormati hak peribadi artis serta orang awam.


