Penyanyi Nubhan sahkan lafaz cerai di mahkamah esok

SEPANG – Selepas sedekad mendirikan rumah tangga, penyanyi dan usahawan Ahmad Nubhan Ahamad atau lebih dikenali sebagai Nubhan, 39, dilaporkan bakal ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang esok bagi menghadiri prosiding pengesahan lafaz cerai terhadap isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.

Menurut sumber terdekat pasangan itu, Nubhan telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz talak berkenaan pada awal bulan lalu.

“Setakat yang dimaklumkan, esok merupakan prosiding bagi pengesahan lafaz talak yang difailkan Nubhan. Bila lafaz cerai itu dibuat, kena tanya kepada dia sendiri. Mereka berdua akan hadir bersama peguam masing-masing,” kata sumber berkenaan yang enggan dikenali.

Tambahnya, pasangan itu kini difahamkan sudah tidak tinggal sebumbung selepas Nubhan dipercayai melafazkan talak pada Ogos lalu.

“Mereka sudah tinggal berasingan. Tiga anak mereka yang masih kecil kini berada di bawah jagaan isterinya,” ujarnya.

Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Afifah Hidayah, Datuk Akberdin Abdul Kader, mengesahkan anak guamnya selaku plaintif akan hadir ke mahkamah bagi prosiding sebutan pertama seperti yang dijadualkan.

“Saya difahamkan suami kepada anak guam saya melafazkan talak ketika mereka berdua berada di dalam kereta sekitar akhir Ogos lalu. Cuma saya tidak pasti sama ada hakim akan mengesahkan perceraian esok kerana biasanya perlu ada siasatan terlebih dahulu,” katanya.

Tambah Akberdin, sebarang kenyataan lanjut mengenai punca perceraian akan dijelaskan selepas prosiding selesai.

Untuk rekod, Nubhan dan Afifah Hidayah yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 selepas hampir setahun bertunang. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6; dan Afzan Nayille, 3 tahun.

BACA JUGA:  Peranan universiti lebih luas daripada sekadar menimba ilmu - Raja Perlis
Ashrul Aizad
Ashrul Aizad
ashrulaizad@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...