BEIJING — Kira-kira 14 tahun lalu, seorang remaja berusia 17 tahun dari wilayah Anhui, China pernah tular kerana sanggup menjual buah pinggangnya semata-mata untuk membeli iPhone 4 dan iPad 2.
Kini, pada usia 31 tahun, lelaki bernama Wang Shangkun itu hidup sebagai orang kurang upaya (OKU) selepas mengalami kegagalan buah pinggang kronik.
Menurut laporan, Wang terpengaruh dengan dakwaan di media sosial ketika itu bahawa manusia tidak memerlukan dua buah pinggang.
Tanpa pengetahuan keluarganya, dia menghubungi sindiket pemerdagangan organ haram sebelum menjalani pembedahan tidak sah di sebuah hospital kecil.
Wang hanya menerima bayaran sekitar 20,000 yuan (RM13,000) sebelum menggunakan wang itu membeli iPhone 4 dan iPad 2.
Namun, tidak lama selepas pembedahan, dia mengalami jangkitan serius yang menyebabkan buah pinggangnya gagal berfungsi.
Setahun kemudian, pihak berkuasa berjaya menumpaskan sindiket berkenaan dan mahkamah mengarahkan pampasan sebanyak 1.48 juta yuan (RM962,000) dibayar kepada keluarganya.
Bagaimanapun, pampasan itu tidak dapat mengembalikan kesihatannya.
Terkini, Wang kehilangan 75 peratus fungsi buah pinggang dan terpaksa menjalani dialisis berkala.
Dia disahkan sebagai OKU tahap 3, tidak lagi mampu bekerja, dan sering mengalami komplikasi kesihatan.

