KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa semua 23 rakyat Malaysia yang ditahan oleh rejim Zionis Israel telah berjaya dibebaskan dan kini dalam perjalanan pulang ke tanah air melalui kerjasama erat dengan kerajaan Turki.
Anwar menjelaskan bahawa pembebasan itu hasil rundingan diplomatik panjang melibatkan pelbagai pihak antarabangsa termasuk Turki, Qatar, Jordan, dan Amerika Syarikat.
“Alhamdulillah, sebentar tadi saya dimaklumkan bahawa atas persetujuan Presiden Turki melalui Ketua Pengarah Keselamatan beliau, Dr. Ibrahim Khalil, kerajaan Turki kini sedang menguruskan proses membawa pulang kesemua 23 rakyat Malaysia tersebut,” katanya.
Menurut Anwar, pesawat khas dari Turki kini sedang membawa kumpulan itu keluar dari Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel menuju ke Istanbul. Mereka akan ditempatkan sementara di Istanbul selama satu hingga satu setengah hari bagi menjalani pemeriksaan kesihatan serta rawatan akibat trauma yang dialami ketika berada dalam tahanan.
Rundingan pembebasan itu turut melibatkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; serta beberapa pemimpin antarabangsa lain termasuk Amir dan Perdana Menteri Qatar, dan wakil khas Presiden Amerika Syarikat, Steve Witkoff.
“Proses ini bukan mudah, ia melibatkan perbincangan panjang dan diplomasi berlapis dengan banyak pihak. Namun hasil kesungguhan dan kerjasama erat antara Malaysia, Turki dan beberapa negara Islam lain, akhirnya kita berjaya,” jelasnya lagi.
Perdana Menteri turut menzahirkan rasa syukur atas kejayaan tersebut, menyifatkannya sebagai satu kemenangan kecil dalam perjuangan kemanusiaan menentang kekejaman rejim Israel.
Anwar dalam ucapannya turut menegaskan bahawa kejadian ini membuka mata dunia terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan Israel yang bukan sahaja menindas rakyat Palestin, tetapi turut menghalang bantuan kemanusiaan antarabangsa.
“Ini hanya berlaku apabila negara itu dipimpin oleh rejim yang zalim dan tidak bertamadun. Negara yang berperikemanusiaan sekurang-kurangnya akan memberi ruang kepada bantuan kemanusiaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia tetap komited mendukung segala usaha antarabangsa yang membawa kepada keamanan, kebebasan dan kemerdekaan rakyat Palestin, selaras dengan pendirian negara-negara Islam dan Arab.
“Setakat ini, keutamaan saya adalah memastikan keselamatan dan kepulangan rakyat Malaysia. Kita doakan agar perjalanan mereka ke Istanbul dan seterusnya ke Kuala Lumpur berjalan lancar dan selamat, insya-Allah,” katanya menutup sidang media tersebut.

