BALIK PULAU – Seorang fasilitator lelaki ditahan polis malam tadi selepas disyaki mencabul empat murid lelaki berusia 12 tahun ketika menyertai satu program di sebuah kem motivasi di Kampung Genting, di sini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata kejadian dipercayai berlaku semasa program motivasi melibatkan murid dari sebuah sekolah kebangsaan di daerah Kerian, Perak, pada 12 Oktober lalu.
Menurutnya, suspek berusia 33 tahun yang merupakan fasilitator jemputan bertindak mencabul mangsa di dalam asrama penginapan kem berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa peserta kem sedang tidur pada tengah malam di dalam dorm yang menempatkan murid lelaki.
“Suspek dikatakan telah menyentuh keempat-empat mangsa tanpa kerelaan mereka,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, hari ini.
Sazalee berkata, mangsa hanya menceritakan kejadian itu kepada guru besar selepas pulang dari kem berkenaan sebelum laporan polis dibuat oleh guru besar tersebut di Balai Polis Bagan Serai, Perak, semalam.
“Bertindak atas laporan, polis menahan suspek di rumahnya di Sungai Petani, Kedah, kira-kira pukul 9 malam semalam,” jelasnya.
Tambah beliau, suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak kini direman selama tujuh hari hingga 21 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.


