SHAH ALAM – Seorang murid lelaki tahun satu di sebuah sekolah rendah di Seksyen 32 di sini terpaksa mendapatkan rawatan di hospital selepas dipercayai menjadi mangsa buli oleh tiga murid darjah tiga ketika waktu rehat, semalam.
Dalam kejadian tersebut, mangsa didakwa dipijak berkali-kali di bahagian perut, dada dan kaki oleh salah seorang pelaku, selain mulutnya turut ditekup serta diugut akan dicekik sekiranya melawan atau menjerit.
Menurut bapa mangsa, Ghadaffi Zainudin, 47, seorang lagi murid dipercayai bertindak sebagai pemerhati manakala seorang lagi cuba menconteng baju anaknya dalam insiden berkenaan.
“Anak saya beritahu hidungnya berdarah selepas kejadian. Malah, pada hari sebelumnya pun dia sudah dibaling sup panas di tangan.
“Sebelum ini pun, duit sekolahnya sering diambil dan dia kerap diganggu oleh murid yang sama,” katanya.
Ghadaffi berkata, menyedari kecederaan dan kesakitan yang dialami anaknya, beliau dan isterinya segera membawa mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut sejak malam semalam.
Katanya, keadaan anaknya kini stabil dan pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan dalaman serius, namun mangsa masih merasa sakit apabila disentuh pada beberapa bahagian badan.
“Alhamdulillah, pemeriksaan awal menunjukkan tiada kecederaan serius. Kami masih menunggu laporan rasmi daripada pihak hospital,” katanya.
Beliau memaklumkan, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Seksyen 7, Shah Alam, berhampiran hospital tempat anaknya dirawat.
Sementara itu, katanya, pihak sekolah termasuk guru besar, beberapa pentadbir serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) hadir ke hospital bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut.
“Pihak sekolah memaklumkan sedang mengenal pasti murid yang terlibat. Difahamkan, kejadian buli di sekolah itu bukan kali pertama berlaku dan pernah terjadi kepada murid lain juga oleh individu yang sama,” tambahnya.
Terdahulu, kejadian itu tular di platform media sosial Thread selepas isteri Ghadaffi memuat naik hantaran mengenai insiden berkenaan.
Turut dikongsikan ialah gambar baju sekolah anak mereka yang kotor dipercayai akibat dipijak dan dibuli oleh murid terbabit, yang kemudiannya mencetuskan kemarahan dalam kalangan pengguna media sosial.

