BANGI – Pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) membuktikan bahawa bidang teknologi bukan penghalang untuk menyerlah dalam dunia seni apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam Festival Seni Suara Alunan Melodi 2025 (FestSAM’25) yang berlangsung di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sabtu lalu.
Pasangan pelajar tersebut, Izmir Ibrahim, 22, dan Khairul Anis Nisrina Betty Khairul Badri, 19, tampil dengan persembahan beridentiti tersendiri yang memikat hati juri dan penonton tanpa meniru gaya legenda P. Ramlee dan Saloma.
Menurut Izmir, pelajar jurusan Teknologi Grafik dan Multimedia, kemenangan itu satu kejutan besar memandangkan saingan peserta lain yang cukup hebat.
“Kami memang tak sangka langsung akan menang. Semua peserta malam tu luar biasa dengan idea-idea segar dan kreatif. Bila diumumkan kami di tempat ketiga, memang terkejut,” katanya.
Bercerita mengenai persiapan, mereka mengambil masa hampir sebulan untuk membangunkan karakter persembahan, disertai latihan intensif selama dua minggu menjelang pertandingan, meskipun terikat dengan jadual kelas yang padat.
Anis, pelajar tahun pertama jurusan Computer Science in Cyber Security, mendedahkan bahawa konsep persembahan mereka diinspirasikan daripada semangat menghargai warisan muzik klasik tempatan.
“Saya yang olah konsep sebab Izmir agak sibuk waktu tu. Kami nak tampil dengan cara sendiri, bukan meniru sesiapa. Matlamat kami nak bawa semula semangat karya lama dalam gaya moden,” jelasnya.
Kejayaan mereka turut disokong oleh tenaga pengajar dan pengurusan UNITEN yang menyediakan kemudahan serta ruang kepada pelajar untuk mengembangkan bakat di luar bidang akademik.
“UNITEN banyak beri peluang untuk kami berkarya walaupun bukan pelajar seni. Pertandingan macam ni bantu kami keluar dari zon selesa dan belajar ekspresikan diri dengan cara positif,” kata Anis.
Sementara itu, Izmir berkata pengalaman menyertai FestSAM’25 membuka pandangannya terhadap keunikan karya klasik tempatan yang sering dipandang ringan oleh generasi muda.
“Sebelum ni saya sendiri kurang kenal karya P. Ramlee dan Saloma. Tapi bila saya hayati, saya kagum macam mana karya mereka boleh kekal relevan dan penuh nilai walaupun tanpa teknologi moden,” ujarnya.
Bagi mereka, kemenangan itu bukan hanya rezeki tetapi bukti bahawa pelajar bidang teknologi juga memiliki potensi besar dalam dunia seni.
“Menyanyi bagi kami masih hobi, tapi kalau ada peluang selepas ni, kami terbuka untuk terus belajar dan mencuba,” kata Izmir menutup bicara.
Pasangan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM800 serta trofi.


