KUALA LUMPUR – Dunia seni tanah air kehilangan seorang tokoh berwibawa apabila Pengarah Orkestra Tradisional Malaysia, Mohd Yazid Zakaria, dilaporkan meninggal dunia tengah hari tadi.
Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi hantaran di platform X hari ini.
Anwar dalam perkongsian tersebut menzahirkan rasa dukacita dan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat dunia muzik dan budaya tempatan.
“Allahyarham bukan sekadar seorang konduktor berbakat, tetapi insan seni berjiwa luhur yang menjadikan muzik sebagai wahana menyatukan hati dan memperindah jiwa bangsa.
“Terima kasih atas segala sumbangan dan bakti Allahyarham dalam mengangkat martabat muzik tradisional negara,” tulisnya.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa anakanda Allahyarham dijadualkan melangsungkan perkahwinan pada Sabtu ini, menjadikan berita pemergian tersebut lebih menyayat hati.
“Semoga keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang berat ini.
“Moga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.
Mohd Yazid sebelum ini mengetuai persembahan Orkestra Tradisional Malaysia sempena Majlis Makan Malam Gala ASEAN, yang berlangsung baru-baru ini dan menampilkan keindahan muzik tradisional sebagai lambang perpaduan serantau.
Pemergian beliau meninggalkan legasi besar dalam dunia seni muzik tanah air, khususnya dalam memartabatkan irama tradisional di peringkat antarabangsa.


