SHAH ALAM – Penyanyi yang juga peserta Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), Nubhan memilih pendekatan berlapang dada dengan bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa susulan dakwaan serius yang dilemparkan bekas isterinya, Dr. Afifah, melibatkan anak lelaki mereka.
Menafikan sekeras-kerasnya tuduhan kononnya pembantu rumah mereka mencium bibir anaknya ketika lawatan di hospital, Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahmad, 39, menegaskan situasi tersebut tidak berlaku seperti didakwa kerana kejadian itu disaksikan ramai individu.
Menurut pelantun lagu Ada Untukmu itu, kehadirannya ke hospital hanyalah untuk menziarahi anaknya yang sedang sakit bersama pembantu rumah, tanpa sebarang perlakuan tidak wajar.
“Saya nafikan dakwaan itu kerana di tempat kejadian ada ramai orang. Kalau perkara itu benar berlaku, pasti ada saksi. Saya tidak akan lindungi sesiapa jika perbuatan salah benar-benar berlaku,” katanya ketika ditemui media selepas konsert minggu ketujuh GV12, semalam.
Mengulas kemungkinan isu itu dibawa ke peringkat undang-undang, Nubhan menyatakan kesediaannya untuk melalui proses tersebut sekiranya ia menjadi jalan terbaik bagi menyelesaikan konflik yang berlarutan.
“Kalau perlu buat laporan polis dan selesaikan melalui saluran betul, saya tiada masalah. Saya sudah penat dengan spekulasi dan cakap-cakap orang,” jelasnya.
Tambahnya, beliau tidak melihat proses turun naik mahkamah sebagai satu beban, sebaliknya menganggap ia satu langkah matang demi kebaikan semua pihak termasuk anak mereka.
Sebelum ini, Dr. Afifah mendakwa pembantu rumah Nubhan mencium bibir anak mereka, Ahmad Affan, 6, tanpa memakai pelitup muka ketika melawat di hospital, malah mendakwa tegurannya tidak diendahkan.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Afifah sah bercerai talak dua pada 2 Disember lalu selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga.

